Rabu, 31 Oktober 2012

Refleksi Pemikiran Linguistik: Ferdinand de Saussure

Assalamualaikum.


Ferdinand de Saussure


Ferdinand de Saussure (1857 – 1913) merupakan seorang ahli linguistik yang menimbulkan arah aliran kajian linguistik deskriptif. Pada awal penglibatan dalam keilmuan linguistik, beliau lebih cenderung dalam bidang linguistik sejarah dan perbandingan. Dikenali sebagai Bapa Pemodenan Linguistik, satu asas aliran linguistik tumbuh dengan pesat, iaitu linguistik formal atau struktural hasil daripada pemikiran yang digagaskan oleh beliau. Hashim Hj. Musa (1994) berpendapat bahawa aliran linguistik formal atau struktural ini bertujuan untuk membebaskan kajian linguistik daripada cengkaman kaedah historis (sejarah) dan komparatif (perbandingan). Oleh hal yang demikian, pemikiran beliau ini telah berkembang dengan pesat di seluruh Barat serta mendapat perhatian meluas dan menerima ikutan yang ramai hasil daripada pemikiran yang dibawa oleh Ferdinand ini.

Dalam bidang kajian linguistik struktural ini, Ferdinand menyentuh hal berkaitan unsur sinkronik dan diakronik. Sinkronik merupakan satu kajian bahasa yang wujud pada sesuatu masa, manakala diakronik ialah kajian bahasa yang lebih memfokuskan kepada aspek sejarah. Ferdinand mengemukakan bahawa linguistik deskriptif (sinkronik) haruslah dibezakan daripada linguistik historis (diakronik) kerana kedua-duanya menggunakan pendekatan yang berlainan, khususnya dalam menganalisis sesuatu bahasa. Beliau juga mengulas berkenaan tugas seorang linguistik yang seharusnya bertindak sebagai mendeskripsikan cara-cara seseorang itu bertutur dan menulis dalam bahasa yang dituturkan dan bukan memberi keputusan kepada kaedah atau cara seseorang itu harus berbicara.

Ferdinand menghuraikan bahasa merupakan sistem tanda yang terdiri daripada signifier dan signified, iaitu penanda dan petanda. Kedua-dua unsur ini saling berkaitan dan wujud secara terikut. Apabila satu daripada unsurnya berubah, maka unsur yang lain juga akan berubah. Ferdinand berpendapat signifier merupakan citra bunyian dan bersifat fizikal serta dapat ditaakuli deria manusia, manakala signified ialah konsep yang tidak berkaitan dengan bentuk-bentuk fizikal. Hal ini bermaksud acuan persepsi atau idea yang terdapat dalam otak manusia yang pelbagai. Selain itu, Ferdinand juga menyebut signified melibatkan konsep mental, iaitu suatu perkara yang dipengaruhi budaya yang terdapat dalam sesebuah masyarakat serta satu hak mutlak yang diperlukan untuk melakukan komunikasi signifikan antara individu dalam masyarakat tersebut. Dengan kata lain, signified bersifat arbitrari atau sewenang-wenangnya diujarkan oleh individu tersebut.

Beliau juga berpendapat bahasa dibezakan antara hubungan sintagmatik dan paradigmatik dalam sesuatu bahasa. Hubungan sintagmatik merupakan peraturan penyusunan bahan bahasa menurut penyusunan secara linear atau mendatar, manakala hubungan paradigmatik ialah keterampilan memilih output bahasa yang paling sesuai untuk digunakan dalam keperihalan keadaan tertentu untuk memenuhi tujuan komunikasi yang tertentu. Zulkifley Hamid (2012) berpendapat sintagmatik melibatkan aspek nahu dan paradigmatik pula melibatkan aspek kecekapan berbahasa. 

Selain itu, Ferdinand juga menyatakan bahasa dibezakan antara sistem yang terdapat dalam akal budi pemakai sesuatu bahasa daripada suatu kelompok sosial, iaitu langue serta bahasa sebagai manifestasi kepada setiap penuturnya, iaitu parole. Langue juga dikatakan sebagai sistem bahasa dan merupakan keseluruhan yang terkumpul dalam sesuatu bahasa. Sistem bahasa ini juga berbentuk abstrak yang digunakan sebagai rujukan bagi setiap penutur dalam sesuatu masyarakat dan juga dikatakan terdiri daripada ciri-ciri parole yang umumnya dalam sekelompoknya. Ferdinand menyifatkan parole sebagai pertuturan yang konkrit yang terdiri daripada ciri-ciri bahasa yang terdapat dalam pertuturan individu yang memperlihatkan kebebasan yang tersendiri. Hal ini juga bererti pertuturan sebenar yang diucapkan oleh individu dalam sesuatu masyarakat. 

Sumber:
Hashim Hj. Musa, (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkifley Hamid, (2012). Malay Proficiency in the Concept of One Malaysia. Journal of Social Science and Humanities. Volume 7, 224-234.




*Sebarang kerja menyalin atau mengambil hasil tulisan ini, perlulah melalui keizinan daripada penulis. Untuk berbuat demikian, sila tinggalkan jejak anda pada ruangan komen untuk pengesahan. Sertakan nama dan institusi.
Sekian, terima kasih.

6 ulasan:

eida berkata...

tkasih...banyak maklumat yg membantu saya utk menyiapkan tugasan.

Suhairi Md. Sujairi berkata...

terima kasih sahabat..

taslimah sekin berkata...

tq..byk membantu

emy berkata...

Main-main di atas batu,
Terima kasih byk membantu.

mbad74 berkata...

tima kasih.. bahan ni sgt menbantu saya

Faizah Ibrahim berkata...

terima kasih..