Isnin, 5 November 2012

Bidang Linguistik: Linguistik Am

Assalamualaikum.



Linguistik am ialah suatu bidang yang mengandungi rangka-rangka untuk memerihalkan bahasa dan teori-teori individu dari segi aspek-aspek bahasa yang sejagat. Sebilangan ahli linguistik berpendapat linguistik am turut disebut sebagai linguistik teori kerana sering dibahagikan kepada sebilangan bidang yang berasingan untuk dikaji secara tersendiri.


Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) menyebut fonetik ialah satu bidang kajian bahasa yang mengkaji bunyi bahasa dari segi sebutan, pendengaran dan sifat bunyi tersebut. Secara amnya, pengkajian yang dilakukan adalah bertitik tolak kepada kajian terhadap unsur-unsur bahasa dalam bentuk bunyi.


Fonetik akustik merujuk kepada kajian transmisi signal bunyi daripada penutur kepada pendengar semasa komunikasi berlangsung. Fonetik artikulatori menjurus kepada kajian yang mendeskripsi cara-cara sesuatu bunyi dilafazkan. Manakala, fonetik auditori ialah kajian sebutan bunyi yang didengar dan berkaitan dengan kaedah-kaedah bunyi diujarkan.

Fonologi ialah subdisiplin linguistik yang mengkaji bunyi bahasa yang menyentuh hal-hal bunyi bahasa, perlakuan dan organisasi bunyi sebagai item linguistik. Kajian yang dilakukan berkaitan dengan hubungan antara butir leksikal dengan makna lain yang akhirnya membentuk sebuah ayat. Dalam bidang ini, pengkajiannya lebih memfokuskan kepada fonem, iaitu unit terkecil yang diwujudkan bagi kemudahan mendeskripsi sistem bunyi. Akhir daripada pengkajian bidang fonologi, setiap sistem bunyi yang dikaji menghasilkan sistem ejaan sesuatu bahasa.

Morfologi menurut Abdullah Hassan (2006) dan Siti Hajar (2008) ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan. Terdapat dua unsur penting yang terlibat dalam membina perkataan dalam bahasa Melayu yang dikaji dalam bidang ini, iaitu morfem dan kata. Morfem ialah unit bahasa yang terkecil mempunyai makna serta fungsi tatabahasa dan berperanan membentuk perkataan. Dalam sesuatu perkataan kebarangkalian mengandungi satu, dua, tiga atau lebih morfem. Morfem juga terdiri daripada morfem terikat dan morfem bebas. Dalam bahasa Melayu, kata juga ialah unsur bahasa yang digunakan bagi membentuk perkataan lain. Kata juga terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

Sintaksis merupakan satu bidang kajian tentang tatacara binaan dan cara frasa, klausa dan ayat dibentuk. Selain itu, sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa. 


Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua patah perkataan atau satu perkataan sahaja. Dalam susunan tatabahasa, frasa boleh menjadi konstituen kepada klausa, yang terdiri daripada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FSN). Klausa ialah satu rangkaian perkataan yang terdiri daripada subjek dan predikat dalam sesuatu ayat. Klausa yang menjadi konstituen kepada ayat terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas. Ayat merupakan unit sintaksis yang paling penting dalam kajian bahasa. Unsur penting dalam sesuatu ayat ialah klausa dalam sesuatu ayat.

Semantik ialah bidang kajian tentang aspek makna dalam bidang ilmu linguistik dan merupakan sebahagian daripada bidang kajian tatabahasa secara khusus, iaitu merujuk kepada kajian yang melibatkan struktur dalam sesuatu bahasa. Siti Hajar (2009) menyifatkan semantik merupakan komponen tatabahasa yang sukar difahami kerana  Ayat merupakan unit sintaksis yang paling penting dalam kajian bahasa. Unsur penting dalam sesuatu ayat ialah klausa dalam sesuatu ayat. 


Daripada Google Images


Sumber:

Abdullah Hassan, (2006). Morfologi. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.



Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar, (2006). Fonetik dan Fonologi. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Bahasa Melayu I. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.


Siti Hajar Abdul Aziz, (2009). Bahasa Melayu II. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.



Tiada ulasan: