Khamis, 1 November 2012

Refleksi Pemikiran Linguistik: Leonard Bloomfield

Assalamualaikum.

Dalam sejarah perkembangan linguistik moden, kita dapat lihat beberapa orang tokoh yang menyumbang kepada pemodenan ilmu linguistik pada masa itu, sekali gus mempengaruhi ilmu kajian linguistik pada hari ini. Oleh itu, selain daripada Ferdinand de Saussure dan Edward Sapir, seorang lagi ahli linguistik Amerika yang menyumbang dalam pemodenan ini, iaitu Leonard Bloomfield.

Leornard Bloomfield.



Leonard Bloomfield (1887 – 1949) merupakan salah seorang ahli linguistik struktural yang terkenal di Amerika Syarikat pada zamannya. Dalam pengkajian bahasa, Bloomfiled menggunakan konsep Ferdinand de Saussure sebagai asas pengkajian, iaitu dalam struktur bahasa. Beliau turut meneliti dua kejadian sejarah di Amerika, sehingga mencetuskan pemesatan perkembangan aliran struktural. Hashim Hj. Musa (1994) menyatakan, kajian sejarah yang dilakukan oleh Bloomfield ialah berkenaan wujudnya bahasa-bahasa orang asli di Amerika Syarikat yang begitu banyak dan pelbagai serta kegiatan penaklukan dan peperangan yang mengakibatkan kehilangan bahasa-bahasa tersebut ekoran kematian penutur-penutur jati bahasa itu.

Selain menjadi seorang ahli linguistik, Bloomfield juga terkenal dengan teori behaviorisme yang berakar daripada pemikiran Plato yang percaya bahawa proses bahasa ini berpunca daripada proses peniruan atau mimetic. Setiap perkataan yang dilafazkan pasti mempunyai struktur. Sebagai contoh, sekiranya seseorang individu itu menyebut rumah, strukturnya mesti rumah, bukan hamur atau maruh. Beliau lebih mengutamakan bahasa lisan sebagai objek kajian dan menyebabkan wujudnya Linguistik Deskriptif. Berkenaan bahasa dan struktur, Bloomfield mengetengahkan kaedah penganalisisan struktur ayat yang perlu ditentukan, iaitu kaedah pemenggalan berstruktur. Contohnya:

Diselesaikan
di
selesai
kan
Kata Sendi Nama
Kata Kerja
Kata Sendi Nama

Kaedah Pemenggalan Berstruktur

Menurut Bloomfield, bahasa merupakan sejumlah isyarat yang berupa unsur-unsur vokal. Hasil daripada analisis yang dilakukan pada bahasa adalah sama dan menemui hakikat bahawa hubungan bahagian bermula daripada fonem, morfem, kata, frasa dan seterusnya ayat. Hal ini juga dikenali sebagai Linguistik Taksonomi kerana mengkaji bahagian-bahagian bahasa dengan terperinci. 

Pendekatan yang diambil oleh Bloomfield dalam asas kajian linguistik struktural bermula daripada perakaman bunyi-bunyi bahasa. Kemudian, berlakunya pengenalpastian bunyi-bunyi kepada bentuk-bentuk distingtif atau fonem berdasarkan rumus fonemik. Seterusnya, penelitian terhadap penyusunan fonem-fonem dan pencantuman yang membentuk unit-unti terkecil yang mempunyai makna. Pada tahap ini, proses ini membentuk morfem sama ada morfem tersebut bebas atau tidak bebas. Penelitian morfem-morfem yang dapat membentuk unit terkecil yang bebas boleh menjadi unsur atau komponen kepada ayat, iaitu perkataan. Dalam hal ini peraturan yang mengawal pembentukan morfem dan perkataan ialah rumus morfemik. Kemudian, penyusunan dan pencantuman perkataan-perkataan diteliti berdasarkan peraturan yang dikenali sebagai rumus sintaksis untuk membentuk ayat dan bahagian-bahagiannya, iaitu frasa dan klausa. Dalam hal ini, hubungan antara anggota binaan sintaksis dilihat dari segi hubungan yang terdekat. Menurut Bloomfield, hubungan antara komponen binaan ayat tersebut boleh ditimbulkan daripada tahap yang paling rendah, iaitu satu hubungan yang paling rapat pada peringkat frasa yang paling kecil dan meningkat secara hieraki kepada hubungan kategori frasa dan klausa, dan sekali gus menjadi sebuah ayat yang lengkap dan tersusun.

Sumber:


Arbak Othman, (1983). Permulaan Ilmu Linguistik: Satu Pengenalan Konsep Bidang Kajian Secara Teoritis. Subang Jaya: Penerbitan Sarjana Sdn. Bhd.


Che Ibrahim Salleh, (2007). Pengantar Linguistik Am. Serdang: Pusat Pendidikan Luar, Universiti Putra Malaysia.


Hashim Hj. Musa, (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Zulkifley Hamid, Ramli Md. Salleh, Rahim Aman, (2007). Linguistik Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan: