Sabtu, 3 November 2012

Pemikiran Linguistik: Avram Noam Chomsky

Assalamualaikum.

Entri kali ini, saya akan menulis serba sedikit berkenaan pemikiran linguistik yang dipelopor oleh Avram Noam Chomsky. Untuk membaca profil beliau, boleh klik di sini.

Avram Noam Chomsky

Ramai pengkaji linguistik menyifatkan perubahan yang paling radikal dan terpenting dalam pertumbuhan aliran teori-teori linguistik ialah pendekatan yang dibawa oleh Chomsky. Aliran linguistik yang dibawakan oleh Chomsky dikenali sebagai transformational-generative grammar atau tatabahasa transformasi generatif (TG). Hashim Haji Musa (1994) menulis, teori TG merupakan pemutusan yang amat ketara daripada aliran struktural/taksonomi Bloomfieldian. Klik di sini untuk membaca mengenai Bloomfield.

Unsur-unsur yang dikatakan sebagai radikal itu mencakupi intergrasi leksikon, tatabahasa dan fonologi ke dalam rumus-rumus, pembalikan hierarki tatabahasa iaitu dari atas ke bawah, iaitu ayat menurun kepada klausa dan kepada frasa dan akhirnya kepada perkataan/leksikon dan penolakan pemisahan antara tahap tersebut, dan keperluan transkripsi fonemik. Tujuan dan matlamat TG juga berbeza, iaitu membentuk rumus-rumus yang terhad bilangannya yang mencakupi kemampuan kreatif penutur asli untuk menerbitkan dan memahami ayat-ayat yang gramatis.

Selain itu, aliran yang dibawa oleh Chomsky juga mengandaikan dua tahap struktur dalam sesuatu bahasa, iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan. Struktur dalaman merupakan kemampuan dalaman penutur. Struktut permukaan ialah laku tutur yang sebenarnya. Bagi menerbitkan struktur dalaman kepada struktur permukaan, terdapat tiga set rumus yang diterapkan.

Pertama : Rumus Strukutur Frasa.

Rumus ini berfungsi untuk memperluas ayat sebagai premiernya kepada konstituen melalui satu rentetan lambang yang mengandungi unsur-unsur yang menanungi pula unsur-unsur yang di bawahnya sehingga kepada unsur terminusnya, iaitu leksikon. Hal ini telah menwujudkan pohon yang dinamai sebagai rajah pohon (tree diagram).

Kedua : Rumus Transformasi.

Rumus ini diterapkan ke atas bentuk-bentuk yang tertentu sama ada wajib atau sebagai pilihan untuk melakukan proses-proses pengguguran, penyusunan semula dan juga penambahan.

Ketiga : Rumus Fonologi.

Rumus ini menukarkan unsur-unsur pada tahap sintaksis (struktur frasa dan juga transformasi) kepada ujaran-ujaran yang sebenarnya.

Jika dilihat, teori ini berkembang dengan pesat sekali sehingga menyerap ke dalam bahasa-bahasa di seluruh dunia, seperti bahasa Melayu. Bahasa Melayu turut menerima pengaruh aliran ini sebagai satu cabang ilmu kajian linguistik, selain aliran tradisional dan struktural. Pada hari ini, kita dapat lihat beberapa buku penting atau kitab rujukan kepada penuntut dan ahli bahasa di Malaysia menggunakan aliran ini, seperti:


  1. Bahasa Melayu Syntax Some Aspects of Its Standardization, (1978) oleh Nik Safiah Karim.
  2. Pengantar Teori Sintaksis Satu Pengenalan Konsep Tatabahasa Transformasi-Generatif, (1980) oleh Arbak Othman.
  3. Tatabahasa Dewan, (1993) oleh Nik Safiah Karim.
  4. Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu Satu Huraian Dari Sudut Tatabahasa Generatif, (1993) oleh Hashim Haji Musa.

Sumber:

Hashim Hj. Musa, (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




Catatan:
Untuk entri lanjut berkenaan teori ini, akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan: