Assalamualaikum.
Jika semalam, saya berkongsi berkenaan refleksi pemikiran linguistik Ferdinand de Saussure. Tika dinihari ini, saya cuba untuk berkongsi refleksi pemikiran linguistik seorang tokoh linguistik yang sangat berpengaruh di Barat, iaitu Edward Sapir.
Edward Sapir.
Edward Sapir (1884 – 1939)
merupakan seorang ahli linguistik Amerika yang pertama yang mengkaji dengan
teliti hubungan-hubungan antara kajian bahasa dengan antropologi. Skop
pengkajian yang dilaksanakan oleh Sapir ialah mengenai klasifikasi
bahasa-bahasa suku etnik Indian di Amerika Syarikat. Dalam bidang linguistik,
Edward Sapir menyumbang kepada aspek antropologi dalam bahasa yang
dipertuturkan oleh manusia serta naskhah Language
yang sebahagian besarnya meliputi tripologi bahasa. Linguistik Sapir tidak
terhenti pada pengkajian struktur bahasa, tetapi juga meliputi beberapa
lapangan, iaitu sastera, agama, budaya dan metodologi.
Edward Sapir juga memperkenalkan Hipotesis
Sapir-Whorf, hasil gabungan pemikiran dengan anak murid beliau, Benjamin Lee
Whorf. Hipotesis Sapir-Whorf menekankan beberapa hubungan yang mempunyai peri
penting dalam aliran linguistik yang dibawakan oleh mereka, iaitu bahasa,
pemikiran dan budaya. Sapir dan Whorf tidak menulis hipotesis tersebut secara
formal berserta formula-formula empirik, tetapi melalui kajian yang mendalam
menerusi penulisan perakara-perkara berkaitan dengan linguistik, dan akhirnya
mereka menemui dua idea yang menjadi tunjang kepada aliran mereka ini. Kedua-dua
ahli linguistik ini bersepakat bersetuju bahawa budaya yang menentukan bahasa.
Selain itu, Sapir juga menekankan fonem sebagai satuan psikologi kerana bahasa
dapat melahirkan perkataan-perkataan yang terkandung lambang dan makna pada
setiap ujaran.
Dua
idea tersebut ialah teori linguistik penentuan atau determinism dan relatif atau relativism.
Teori linguistik penentuan ialah teori yang menyatakan bahasa yang digunakan
oleh manusia akan menentukan kaedah untuk menginterpretasikan dunia sekeliling sesebuah masyarakat. Manakala,
teori linguistik relatif merupakan teori yang lebih lemah menyatakan bahasa
bahasa mempunyai sedikit kesan dalam mempengaruhi pemikiran manusia terhadap
realiti dunia dan serta kehidupan sesebuah masyarakat.
Mengupas
hal bahasa, Sapir berpendapat bahasa bersifat distingtif, iaitu membezakan
makna daripada perkataan-perkataan yang diujarkan. Perbezaan makna ini lahir
daripada interpretasi individu terhadap persekitaran seseorang individu
tersebut. Selain itu, Sapir turut mengemukakan teori struktural yang menyentuh
aspek struktur bahasa. Teori yang dikemukakan ini merangkumi pola dan pembinaan
sesuatu ayat. Bahasa juga dikatakan sebagai satu aktiviti rohani, iaitu suatu
proses kejiwaan yang berulang-ulang untuk membentuk gagasan atau pemikiran
melalui bunyi yang berartikulasi. Setiap bahasa mempunyai keistimewaan yang
tersendiri, iaitu bahasa merupakan lambang jiwa, suatu tabiat manusia dan
menjadi sifat sesuatu bangsa yang menjadi alat perhubungan antara satu sama
lain.
Sumber:
Tiada nama pengarang, (2011). Pemikiran Linguistik Edward Sapir. http://travelogmunsyi.wordpress.com.
Dicapai pada 14 Ogos 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan