Sabtu, 3 November 2012

Pemikiran Linguistik: Avram Noam Chomsky

Assalamualaikum.

Entri kali ini, saya akan menulis serba sedikit berkenaan pemikiran linguistik yang dipelopor oleh Avram Noam Chomsky. Untuk membaca profil beliau, boleh klik di sini.

Avram Noam Chomsky

Ramai pengkaji linguistik menyifatkan perubahan yang paling radikal dan terpenting dalam pertumbuhan aliran teori-teori linguistik ialah pendekatan yang dibawa oleh Chomsky. Aliran linguistik yang dibawakan oleh Chomsky dikenali sebagai transformational-generative grammar atau tatabahasa transformasi generatif (TG). Hashim Haji Musa (1994) menulis, teori TG merupakan pemutusan yang amat ketara daripada aliran struktural/taksonomi Bloomfieldian. Klik di sini untuk membaca mengenai Bloomfield.

Unsur-unsur yang dikatakan sebagai radikal itu mencakupi intergrasi leksikon, tatabahasa dan fonologi ke dalam rumus-rumus, pembalikan hierarki tatabahasa iaitu dari atas ke bawah, iaitu ayat menurun kepada klausa dan kepada frasa dan akhirnya kepada perkataan/leksikon dan penolakan pemisahan antara tahap tersebut, dan keperluan transkripsi fonemik. Tujuan dan matlamat TG juga berbeza, iaitu membentuk rumus-rumus yang terhad bilangannya yang mencakupi kemampuan kreatif penutur asli untuk menerbitkan dan memahami ayat-ayat yang gramatis.

Selain itu, aliran yang dibawa oleh Chomsky juga mengandaikan dua tahap struktur dalam sesuatu bahasa, iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan. Struktur dalaman merupakan kemampuan dalaman penutur. Struktut permukaan ialah laku tutur yang sebenarnya. Bagi menerbitkan struktur dalaman kepada struktur permukaan, terdapat tiga set rumus yang diterapkan.

Pertama : Rumus Strukutur Frasa.

Rumus ini berfungsi untuk memperluas ayat sebagai premiernya kepada konstituen melalui satu rentetan lambang yang mengandungi unsur-unsur yang menanungi pula unsur-unsur yang di bawahnya sehingga kepada unsur terminusnya, iaitu leksikon. Hal ini telah menwujudkan pohon yang dinamai sebagai rajah pohon (tree diagram).

Kedua : Rumus Transformasi.

Rumus ini diterapkan ke atas bentuk-bentuk yang tertentu sama ada wajib atau sebagai pilihan untuk melakukan proses-proses pengguguran, penyusunan semula dan juga penambahan.

Ketiga : Rumus Fonologi.

Rumus ini menukarkan unsur-unsur pada tahap sintaksis (struktur frasa dan juga transformasi) kepada ujaran-ujaran yang sebenarnya.

Jika dilihat, teori ini berkembang dengan pesat sekali sehingga menyerap ke dalam bahasa-bahasa di seluruh dunia, seperti bahasa Melayu. Bahasa Melayu turut menerima pengaruh aliran ini sebagai satu cabang ilmu kajian linguistik, selain aliran tradisional dan struktural. Pada hari ini, kita dapat lihat beberapa buku penting atau kitab rujukan kepada penuntut dan ahli bahasa di Malaysia menggunakan aliran ini, seperti:


  1. Bahasa Melayu Syntax Some Aspects of Its Standardization, (1978) oleh Nik Safiah Karim.
  2. Pengantar Teori Sintaksis Satu Pengenalan Konsep Tatabahasa Transformasi-Generatif, (1980) oleh Arbak Othman.
  3. Tatabahasa Dewan, (1993) oleh Nik Safiah Karim.
  4. Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu Satu Huraian Dari Sudut Tatabahasa Generatif, (1993) oleh Hashim Haji Musa.

Sumber:

Hashim Hj. Musa, (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.




Catatan:
Untuk entri lanjut berkenaan teori ini, akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Khamis, 1 November 2012

Refleksi Pemikiran Linguistik: Leonard Bloomfield

Assalamualaikum.

Dalam sejarah perkembangan linguistik moden, kita dapat lihat beberapa orang tokoh yang menyumbang kepada pemodenan ilmu linguistik pada masa itu, sekali gus mempengaruhi ilmu kajian linguistik pada hari ini. Oleh itu, selain daripada Ferdinand de Saussure dan Edward Sapir, seorang lagi ahli linguistik Amerika yang menyumbang dalam pemodenan ini, iaitu Leonard Bloomfield.

Leornard Bloomfield.



Leonard Bloomfield (1887 – 1949) merupakan salah seorang ahli linguistik struktural yang terkenal di Amerika Syarikat pada zamannya. Dalam pengkajian bahasa, Bloomfiled menggunakan konsep Ferdinand de Saussure sebagai asas pengkajian, iaitu dalam struktur bahasa. Beliau turut meneliti dua kejadian sejarah di Amerika, sehingga mencetuskan pemesatan perkembangan aliran struktural. Hashim Hj. Musa (1994) menyatakan, kajian sejarah yang dilakukan oleh Bloomfield ialah berkenaan wujudnya bahasa-bahasa orang asli di Amerika Syarikat yang begitu banyak dan pelbagai serta kegiatan penaklukan dan peperangan yang mengakibatkan kehilangan bahasa-bahasa tersebut ekoran kematian penutur-penutur jati bahasa itu.

Selain menjadi seorang ahli linguistik, Bloomfield juga terkenal dengan teori behaviorisme yang berakar daripada pemikiran Plato yang percaya bahawa proses bahasa ini berpunca daripada proses peniruan atau mimetic. Setiap perkataan yang dilafazkan pasti mempunyai struktur. Sebagai contoh, sekiranya seseorang individu itu menyebut rumah, strukturnya mesti rumah, bukan hamur atau maruh. Beliau lebih mengutamakan bahasa lisan sebagai objek kajian dan menyebabkan wujudnya Linguistik Deskriptif. Berkenaan bahasa dan struktur, Bloomfield mengetengahkan kaedah penganalisisan struktur ayat yang perlu ditentukan, iaitu kaedah pemenggalan berstruktur. Contohnya:

Diselesaikan
di
selesai
kan
Kata Sendi Nama
Kata Kerja
Kata Sendi Nama

Kaedah Pemenggalan Berstruktur

Menurut Bloomfield, bahasa merupakan sejumlah isyarat yang berupa unsur-unsur vokal. Hasil daripada analisis yang dilakukan pada bahasa adalah sama dan menemui hakikat bahawa hubungan bahagian bermula daripada fonem, morfem, kata, frasa dan seterusnya ayat. Hal ini juga dikenali sebagai Linguistik Taksonomi kerana mengkaji bahagian-bahagian bahasa dengan terperinci. 

Pendekatan yang diambil oleh Bloomfield dalam asas kajian linguistik struktural bermula daripada perakaman bunyi-bunyi bahasa. Kemudian, berlakunya pengenalpastian bunyi-bunyi kepada bentuk-bentuk distingtif atau fonem berdasarkan rumus fonemik. Seterusnya, penelitian terhadap penyusunan fonem-fonem dan pencantuman yang membentuk unit-unti terkecil yang mempunyai makna. Pada tahap ini, proses ini membentuk morfem sama ada morfem tersebut bebas atau tidak bebas. Penelitian morfem-morfem yang dapat membentuk unit terkecil yang bebas boleh menjadi unsur atau komponen kepada ayat, iaitu perkataan. Dalam hal ini peraturan yang mengawal pembentukan morfem dan perkataan ialah rumus morfemik. Kemudian, penyusunan dan pencantuman perkataan-perkataan diteliti berdasarkan peraturan yang dikenali sebagai rumus sintaksis untuk membentuk ayat dan bahagian-bahagiannya, iaitu frasa dan klausa. Dalam hal ini, hubungan antara anggota binaan sintaksis dilihat dari segi hubungan yang terdekat. Menurut Bloomfield, hubungan antara komponen binaan ayat tersebut boleh ditimbulkan daripada tahap yang paling rendah, iaitu satu hubungan yang paling rapat pada peringkat frasa yang paling kecil dan meningkat secara hieraki kepada hubungan kategori frasa dan klausa, dan sekali gus menjadi sebuah ayat yang lengkap dan tersusun.

Sumber:


Arbak Othman, (1983). Permulaan Ilmu Linguistik: Satu Pengenalan Konsep Bidang Kajian Secara Teoritis. Subang Jaya: Penerbitan Sarjana Sdn. Bhd.


Che Ibrahim Salleh, (2007). Pengantar Linguistik Am. Serdang: Pusat Pendidikan Luar, Universiti Putra Malaysia.


Hashim Hj. Musa, (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Zulkifley Hamid, Ramli Md. Salleh, Rahim Aman, (2007). Linguistik Melayu. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Refleksi Pemikiran Linguistik: Edward Sapir

Assalamualaikum.


Jika semalam, saya berkongsi berkenaan refleksi pemikiran linguistik Ferdinand de Saussure. Tika dinihari ini, saya cuba untuk berkongsi refleksi pemikiran linguistik seorang tokoh linguistik yang sangat berpengaruh di Barat, iaitu Edward Sapir. 


Edward Sapir.

Edward Sapir (1884 – 1939) merupakan seorang ahli linguistik Amerika yang pertama yang mengkaji dengan teliti hubungan-hubungan antara kajian bahasa dengan antropologi. Skop pengkajian yang dilaksanakan oleh Sapir ialah mengenai klasifikasi bahasa-bahasa suku etnik Indian di Amerika Syarikat. Dalam bidang linguistik, Edward Sapir menyumbang kepada aspek antropologi dalam bahasa yang dipertuturkan oleh manusia serta naskhah Language yang sebahagian besarnya meliputi tripologi bahasa. Linguistik Sapir tidak terhenti pada pengkajian struktur bahasa, tetapi juga meliputi beberapa lapangan, iaitu sastera, agama, budaya dan metodologi.

Edward Sapir juga memperkenalkan Hipotesis Sapir-Whorf, hasil gabungan pemikiran dengan anak murid beliau, Benjamin Lee Whorf. Hipotesis Sapir-Whorf menekankan beberapa hubungan yang mempunyai peri penting dalam aliran linguistik yang dibawakan oleh mereka, iaitu bahasa, pemikiran dan budaya. Sapir dan Whorf tidak menulis hipotesis tersebut secara formal berserta formula-formula empirik, tetapi melalui kajian yang mendalam menerusi penulisan perakara-perkara berkaitan dengan linguistik, dan akhirnya mereka menemui dua idea yang menjadi tunjang kepada aliran mereka ini. Kedua-dua ahli linguistik ini bersepakat bersetuju bahawa budaya yang menentukan bahasa. Selain itu, Sapir juga menekankan fonem sebagai satuan psikologi kerana bahasa dapat melahirkan perkataan-perkataan yang terkandung lambang dan makna pada setiap ujaran.

Dua idea tersebut ialah teori linguistik penentuan atau determinism dan relatif atau relativism. Teori linguistik penentuan ialah teori yang menyatakan bahasa yang digunakan oleh manusia akan menentukan kaedah untuk menginterpretasikan dunia  sekeliling sesebuah masyarakat. Manakala, teori linguistik relatif merupakan teori yang lebih lemah menyatakan bahasa bahasa mempunyai sedikit kesan dalam mempengaruhi pemikiran manusia terhadap realiti dunia dan serta kehidupan sesebuah masyarakat.

Mengupas hal bahasa, Sapir berpendapat bahasa bersifat distingtif, iaitu membezakan makna daripada perkataan-perkataan yang diujarkan. Perbezaan makna ini lahir daripada interpretasi individu terhadap persekitaran seseorang individu tersebut. Selain itu, Sapir turut mengemukakan teori struktural yang menyentuh aspek struktur bahasa. Teori yang dikemukakan ini merangkumi pola dan pembinaan sesuatu ayat. Bahasa juga dikatakan sebagai satu aktiviti rohani, iaitu suatu proses kejiwaan yang berulang-ulang untuk membentuk gagasan atau pemikiran melalui bunyi yang berartikulasi. Setiap bahasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri, iaitu bahasa merupakan lambang jiwa, suatu tabiat manusia dan menjadi sifat sesuatu bangsa yang menjadi alat perhubungan antara satu sama lain.

Sumber:

Tiada nama pengarang, (2011). Pemikiran Linguistik Edward Sapir. http://travelogmunsyi.wordpress.com. Dicapai pada 14 Ogos 2012.