Ahad, 18 November 2012

Bidang Linguistik: Linguistik Kontekstual

Assalamualaikum.

Linguistik Kontekstual merupakan bidang yang melihat linguistik berinteraksi dengan disiplin-disiplin akademik yang kain. Ada sesetengah ahli linguistik berpendapat teori ialah teras kepada pengkajian bahasa semata-mata untuk tujuan sendiri.

Terdapat tiga cabang dalam linguistik kontekstual, iaitu:


Sosiolinguistik

Linguistik Antropologikal

Antropologi Linguistik

Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa dan kesannya pada masyarakat. Bidang kajian ini cenderung kepada variasi bahasa yang muncul dalam masyarakat yang lazimnya dipengaruhi sosial dalam masyarakat. Selain itu, sosiolinguistik juga merupakan satu kajian yang luas dan pelbagai yang meliputi bermacam-macam perkara. Fokusnya kepada fungsi bahasa, peranan bahasa, penerimaan istilah, kata sapaan yang ditinjau daripada kesantunan berbahasa dan sebagainya. Prinsipnya mendasari pengkajian tentang aspek-aspek linguistik dari segi bahasa, struktur dan penggunaan bahasa yang terdapat persamaan pada fungsi-fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah kelompok masyarakat.

Antropologi Linguistik ialah satu cabang yang mengkaji hubungan antara bahasa dan budaya khususnya untuk mengamati dan menekuni bahasa digunakan dalam kehidupan seharian sebagai satu alat dalam tindakan bermasyarakat. Antropologi linguistik juga disebut sebagai etnolinguistik, iaitu bidang yang memberikan penumpuan kepada perhubungan serta perkaitan antara bahasa dengan penyelidikan primitif, pertalian bahasa dengan kumpulan-kumpulan etnik. Dalam konteks perkaedahan kajian, antropologi linguistik menggunakan kaedah participant observation atau pemerhatian masyarakat yang memperlihat pemakaian bahasa dalam ruang lingkup sosial budaya secara terperinci.

Linguistik Antropologikal merupakan bidang yang mengkaji hubngan bahasa dan budaya sesuatu masyarakat. Bidang kajian linguistik antropologikal ini juga melihat aspek-aspek kehidupan penutur yang tertentu, sekali gus melihat suasana kehidupan dan sistem nilai yang dipegang oleh para penutur mempengaruhi tatacara  berbahasa.

Isnin, 5 November 2012

Bidang Linguistik: Linguistik Am

Assalamualaikum.



Linguistik am ialah suatu bidang yang mengandungi rangka-rangka untuk memerihalkan bahasa dan teori-teori individu dari segi aspek-aspek bahasa yang sejagat. Sebilangan ahli linguistik berpendapat linguistik am turut disebut sebagai linguistik teori kerana sering dibahagikan kepada sebilangan bidang yang berasingan untuk dikaji secara tersendiri.


Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar (2006) menyebut fonetik ialah satu bidang kajian bahasa yang mengkaji bunyi bahasa dari segi sebutan, pendengaran dan sifat bunyi tersebut. Secara amnya, pengkajian yang dilakukan adalah bertitik tolak kepada kajian terhadap unsur-unsur bahasa dalam bentuk bunyi.


Fonetik akustik merujuk kepada kajian transmisi signal bunyi daripada penutur kepada pendengar semasa komunikasi berlangsung. Fonetik artikulatori menjurus kepada kajian yang mendeskripsi cara-cara sesuatu bunyi dilafazkan. Manakala, fonetik auditori ialah kajian sebutan bunyi yang didengar dan berkaitan dengan kaedah-kaedah bunyi diujarkan.

Fonologi ialah subdisiplin linguistik yang mengkaji bunyi bahasa yang menyentuh hal-hal bunyi bahasa, perlakuan dan organisasi bunyi sebagai item linguistik. Kajian yang dilakukan berkaitan dengan hubungan antara butir leksikal dengan makna lain yang akhirnya membentuk sebuah ayat. Dalam bidang ini, pengkajiannya lebih memfokuskan kepada fonem, iaitu unit terkecil yang diwujudkan bagi kemudahan mendeskripsi sistem bunyi. Akhir daripada pengkajian bidang fonologi, setiap sistem bunyi yang dikaji menghasilkan sistem ejaan sesuatu bahasa.

Morfologi menurut Abdullah Hassan (2006) dan Siti Hajar (2008) ialah satu bidang ilmu yang mengkaji bentuk perkataan. Terdapat dua unsur penting yang terlibat dalam membina perkataan dalam bahasa Melayu yang dikaji dalam bidang ini, iaitu morfem dan kata. Morfem ialah unit bahasa yang terkecil mempunyai makna serta fungsi tatabahasa dan berperanan membentuk perkataan. Dalam sesuatu perkataan kebarangkalian mengandungi satu, dua, tiga atau lebih morfem. Morfem juga terdiri daripada morfem terikat dan morfem bebas. Dalam bahasa Melayu, kata juga ialah unsur bahasa yang digunakan bagi membentuk perkataan lain. Kata juga terdiri daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas.

Sintaksis merupakan satu bidang kajian tentang tatacara binaan dan cara frasa, klausa dan ayat dibentuk. Selain itu, sintaksis ialah kajian tentang hukum atau rumus tatabahasa yang mendasari kaedah penggabungan dan penyusunan perkataan dan kelompok perkataan untuk membentuk ayat dalam sesuatu bahasa. 


Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekurang-kurangnya dua patah perkataan atau satu perkataan sahaja. Dalam susunan tatabahasa, frasa boleh menjadi konstituen kepada klausa, yang terdiri daripada frasa nama (FN), frasa kerja (FK), frasa adjektif (FA) dan frasa sendi nama (FSN). Klausa ialah satu rangkaian perkataan yang terdiri daripada subjek dan predikat dalam sesuatu ayat. Klausa yang menjadi konstituen kepada ayat terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas. Ayat merupakan unit sintaksis yang paling penting dalam kajian bahasa. Unsur penting dalam sesuatu ayat ialah klausa dalam sesuatu ayat.

Semantik ialah bidang kajian tentang aspek makna dalam bidang ilmu linguistik dan merupakan sebahagian daripada bidang kajian tatabahasa secara khusus, iaitu merujuk kepada kajian yang melibatkan struktur dalam sesuatu bahasa. Siti Hajar (2009) menyifatkan semantik merupakan komponen tatabahasa yang sukar difahami kerana  Ayat merupakan unit sintaksis yang paling penting dalam kajian bahasa. Unsur penting dalam sesuatu ayat ialah klausa dalam sesuatu ayat. 


Daripada Google Images


Sumber:

Abdullah Hassan, (2006). Morfologi. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.



Indirawati Zahid dan Mardian Shah Omar, (2006). Fonetik dan Fonologi. Batu Caves: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.


Siti Hajar Abdul Aziz, (2008). Bahasa Melayu I. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.


Siti Hajar Abdul Aziz, (2009). Bahasa Melayu II. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.



Contoh Surat Iringan

Assalamualaikum.

Berikut, disertakan contoh surat iringan yang sering saya gunakan untuk penerbitan karya di mana-mana media.


**********


Kepada: EDITOR (nyatakan media yang hendak dituju, sebaiknya sertakan nama)

Tarikh: (tarikh surat dihantar, sebaiknya pada waktu mahu diemel/pos)


Tuan,

Bersama dengan ini, dilampirkan (sertakan genre kreatif/bukan kreatif) bertajuk (tajuk kataya yang hendak dihantar) untuk diterbitkan dalam (nama media) sekiranya bersesuaian di bawah pengelolaan pihak tuan. Maklumat tentang diri saya seperti berikut:

Nama                          :
Nama Pena                 :
Alamat Rumah           :
No. Kad Pengenalan  :
No. Telefon                :
No Akaun                   : (andai dihantar untuk terbitan DBP, gunakan akaun Bank Islam. Jika kepada pihak Berita Harian, gunakan akaun CIMB atau Maybank)


*Proses penciptaan karya dan maklumat lanjut mengenai saya boleh dirujuk pada bahagian lampiran.

Segala kerjasama daripada pihak tuan, amat saya hargai dan didahulukan ucapan terima kasih.

Salam hormat,


..........................................................................*
(nama penuh penulis)

*WAJIB ditandatangani penulis.

Sekiranya dihantar melalui emel, cetak surat ini dan tanda tangan. Kemudian, imbaskan (scan) seterusnya sertakan dalam kantung pesanan emel anda.


Mudahkan hendak menghantar karya?