Assalamualaikum.
Ferdinand de Saussure
Ferdinand de Saussure (1857 – 1913) merupakan
seorang ahli linguistik yang menimbulkan arah aliran kajian linguistik
deskriptif. Pada awal penglibatan dalam keilmuan linguistik, beliau lebih
cenderung dalam bidang linguistik sejarah dan perbandingan. Dikenali sebagai
Bapa Pemodenan Linguistik, satu asas aliran linguistik tumbuh dengan pesat,
iaitu linguistik formal atau struktural hasil daripada pemikiran yang
digagaskan oleh beliau. Hashim Hj. Musa (1994) berpendapat bahawa aliran
linguistik formal atau struktural ini bertujuan untuk membebaskan kajian
linguistik daripada cengkaman kaedah historis (sejarah) dan komparatif
(perbandingan). Oleh hal yang demikian, pemikiran beliau ini telah berkembang
dengan pesat di seluruh Barat serta mendapat perhatian meluas dan menerima
ikutan yang ramai hasil daripada pemikiran yang dibawa oleh Ferdinand ini.
Dalam bidang kajian linguistik struktural
ini, Ferdinand menyentuh hal berkaitan unsur sinkronik dan diakronik. Sinkronik
merupakan satu kajian bahasa yang wujud pada sesuatu masa, manakala diakronik
ialah kajian bahasa yang lebih memfokuskan kepada aspek sejarah. Ferdinand
mengemukakan bahawa linguistik deskriptif (sinkronik) haruslah dibezakan daripada
linguistik historis (diakronik) kerana kedua-duanya menggunakan pendekatan yang
berlainan, khususnya dalam menganalisis sesuatu bahasa. Beliau juga mengulas
berkenaan tugas seorang linguistik yang seharusnya bertindak sebagai
mendeskripsikan cara-cara seseorang itu bertutur dan menulis dalam bahasa yang
dituturkan dan bukan memberi keputusan kepada kaedah atau cara seseorang itu
harus berbicara.
Ferdinand menghuraikan bahasa merupakan
sistem tanda yang terdiri daripada signifier
dan signified, iaitu penanda dan
petanda. Kedua-dua unsur ini saling berkaitan dan wujud secara terikut. Apabila
satu daripada unsurnya berubah, maka unsur yang lain juga akan berubah.
Ferdinand berpendapat signifier
merupakan citra bunyian dan bersifat fizikal serta dapat ditaakuli deria
manusia, manakala signified ialah
konsep yang tidak berkaitan dengan bentuk-bentuk fizikal. Hal ini bermaksud
acuan persepsi atau idea yang terdapat dalam otak manusia yang pelbagai. Selain
itu, Ferdinand juga menyebut signified melibatkan
konsep mental, iaitu suatu perkara yang dipengaruhi budaya yang terdapat dalam
sesebuah masyarakat serta satu hak mutlak yang diperlukan untuk melakukan komunikasi
signifikan antara individu dalam masyarakat tersebut. Dengan kata lain, signified bersifat arbitrari atau
sewenang-wenangnya diujarkan oleh individu tersebut.
Beliau juga berpendapat
bahasa dibezakan antara hubungan sintagmatik dan paradigmatik dalam sesuatu
bahasa. Hubungan sintagmatik merupakan peraturan penyusunan bahan bahasa
menurut penyusunan secara linear atau mendatar, manakala hubungan paradigmatik
ialah keterampilan memilih output bahasa yang paling sesuai untuk digunakan
dalam keperihalan keadaan tertentu untuk memenuhi tujuan komunikasi yang
tertentu. Zulkifley Hamid (2012) berpendapat sintagmatik melibatkan aspek nahu
dan paradigmatik pula melibatkan aspek kecekapan berbahasa.
Selain itu, Ferdinand
juga menyatakan bahasa dibezakan antara sistem yang terdapat dalam akal budi
pemakai sesuatu bahasa daripada suatu kelompok sosial, iaitu langue serta bahasa sebagai manifestasi
kepada setiap penuturnya, iaitu parole.
Langue juga dikatakan sebagai sistem
bahasa dan merupakan keseluruhan yang terkumpul dalam sesuatu bahasa. Sistem
bahasa ini juga berbentuk abstrak yang digunakan sebagai rujukan bagi setiap
penutur dalam sesuatu masyarakat dan juga dikatakan terdiri daripada ciri-ciri parole yang umumnya dalam sekelompoknya.
Ferdinand menyifatkan parole sebagai
pertuturan yang konkrit yang terdiri daripada ciri-ciri bahasa yang terdapat
dalam pertuturan individu yang memperlihatkan kebebasan yang tersendiri. Hal
ini juga bererti pertuturan sebenar yang diucapkan oleh individu dalam sesuatu
masyarakat.
Sumber:
Hashim Hj. Musa, (1994). Pengantar Falsafah Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkifley Hamid, (2012). Malay Proficiency in the Concept
of One Malaysia. Journal of Social
Science and Humanities. Volume 7, 224-234.
*Sebarang kerja menyalin atau mengambil hasil tulisan ini, perlulah melalui keizinan daripada penulis. Untuk berbuat demikian, sila tinggalkan jejak anda pada ruangan komen untuk pengesahan. Sertakan nama dan institusi.
Sekian, terima kasih.
9 ulasan:
tkasih...banyak maklumat yg membantu saya utk menyiapkan tugasan.
terima kasih sahabat..
tq..byk membantu
Main-main di atas batu,
Terima kasih byk membantu.
tima kasih.. bahan ni sgt menbantu saya
terima kasih..
terima kasih senior :)
terima kasih atas perkongsian saudara..
Terima kasih atas maklumat ini <3
Catat Ulasan